Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis mengesahkan penangkapan guru besar lelaki berusia 58 tahun di sebuah rendah berhampiran pusat bandar di sini selepas disyaki mencabul seorang murid lelaki berusia 12 tahun di dalam tandas sekolah dan pejabatnya sejak Jun lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis yang bertugas di Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka jam 9 malam tadi berkait kes terbabit.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kes disiasat dan suspek berusia 58 tahun ditahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati negatif dadah dan penahan suspek dibuat untuk tempoh 24 jam sebelum diberikan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan perbuatan keji suspek terbongkar selepas mangsa, pelajar Tahun 6 menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum wanita berkenaan membawa anaknya itu membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah semalam.

Menurut sumber, anak sulung daripada tiga beradik itu mendakwa kejadian berlaku pukul 8 pagi 29 Julai lalu ketika dia bersama dua rakannya pergi ke tandas sekolah sebelum suspek memasuki tandas.

“Suspek kemudian dikatakan meminta rakan mangsa balik ke kelas tanpa menyedari seorang lagi rakannya berada di dalam tandas sebelum memeluk kanak-kanak itu dari belakang sambil memegang punggungnya dan berbisik ‘I love you’.

“Guru besar terbabit memaksa mangsa membalasnya menyebabkan murid itu terpaksa menjawab ‘I love you too’ dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Pengadu mendakwa, kejadian sama pernah berlaku pada Jun lalu ketika dia dan rakannya pergi ke pejabat suspek selepas diminta membantu meletakkan klip pada sijil.

“Secara tiba-tiba suspek memeluk, meraba punggung, dada dan kemaluan pengadu sambil disaksikan rakannya itu namun tidak menceritakan kejadian itu kepada ibunya kerana takut dimarahi.

“Bagaimanapun kanak-kanak berkenaan akhirnya terpaksa meluahkannya kerana tidak tahan dengan gangguan seksual yang dilakukan guru besar berkenaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast