Tabibar Rahman (baju kelabu) didakwa di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang semalam.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga asing didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan memiliki 350 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi pada Rabu lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, Hakim, Nor Azah Kasran menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh Tabibar Rahman, 56, membuat pengakuan bersalah dan memperakui fakta kes selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak paket 1 kg sebanyak 350 unit yang berada di dalam sebuah premis semasa ditahan.

“Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 2.40 petang pada 6 Ogos lalu di Lot 10294 dan 10293, Mukim 12, Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam dekat sini.

“Bagi kesalahan itu, lelaki tersebut didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Pulau Pinang, Alsad Nasrullah manakala tertuduh turut diwakili peguam.

Tambah kenyataan itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

“Selain itu, wang hasil minyak masak yang disita tersebut turut diarahkan dilucuthak dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast