KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh menempelak tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerima keahlian bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz walaupun parti itu sudah diberi amaran lebih awal.
Menurut Akmal, UMNO sejak awal lagi telah menegaskan pendirian keahlian Tengku Zafrul tidak sepatutnya diterima oleh mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan ketidakharmonian.
“Terima kasih PKR kerana memberi kami, akar umbi UMNO, erti sebenar kerajaan perpaduan ini.
”Amaran sudah diberi tetapi tetap juga dilakukan,”dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Akmal turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Tengku Zafrul namun secara sinis mempersoalkan penerimaan akar umbi PKR terhadap penyertaan bekas Menteri Kewangan itu.
“Good luck Tengku Zafrul, moga akar umbi PKR boleh menerima kamu. Kita jumpa nanti di pilihan raya,” ujarnya.
Semalam, Tengku Zafrul yang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima dua minggu lalu.
Tengku Zafrul berkata, beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Pada 30 Mei lepas, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR. -MalaysiaGazette
















