SHAH ALAM – Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerima permohonan keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz boleh mencetuskan prasangka buruk dalam kalangan ahli akar umbi.
Malah, tindakan itu juga mencalar imej kesungguhan dan keikhlasan kerjasama yang selama ini dibina oleh UMNO dan PKR dengan penuh harapan.
Wanita UMNO Selangor kesal dan memandang serius tindakan PKR menerima Tengku Zafrul berkata, ternyata keputusan parti tersebut bertentangan dengan semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan, sekali gus boleh menjejaskan keharmonian gabungan parti pemerintah.
“Kami ingin menegaskan pendirian rasmi UMNO yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung parti pada 30 Mei 2025 yang lalu. Tindakan menerima ahli daripada parti rakan dalam kerajaan secara sewenang-wenangnya adalah tidak wajar dan berpotensi menjejaskan perpaduan yang telah dibina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Wanita UMNO Selangor percaya bahawa prinsip kesetiaan antara parti gabungan perlu dijunjung tinggi demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Tegas, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan sewajarnya terus menghormati semangat setiakawan serta mengutamakan integriti politik demi menjaga kestabilan dan keutuhan gabungan.
Tengku Zafrul sebelum ini merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja sebelum dilaporkan mengambil keputusan menyertai PKR secara rasmi pada hari ini. – MalaysiaGazette
















