Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan video tular di media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah premis di Bandar Pinggiran Subang, Sungai Buloh merupakan kejadian yang berlaku tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, satu laporan telah diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 40an merupakan pengurus projek syarikat terbabit jam 4.30 petang pada Jumaat lalu.

Katanya, pengadu tampil di Balai Polis Kampung Baru Subang untuk menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikatnya dengan kejadian seperti dipaparkan dalam video terbabit.

“Polis telah menjalankan siasatan awal termasuk semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari yang lalu dari syarikat berkenaan.

“Siasatan mendapati bendera itu tidak dipasang terbalik seperti didakwa serta premis terbabit juga tidak beroperasi sejak dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kejadian sebenar video itu berlaku pada tahun 2024 ketika pemasangan bendera baharu, namun kesilapan tersebut segera diperbetulkan.

“Siasatan mendapati video lama itu dikongsi semula di aplikasi TikTok tahun ini oleh pemilik akaun Zubair hingga menyebabkan ia kembali tular.

“Semakan polis setakat jam 7 malam tadi mendapati video berkenaan meraih lebih 5,300 komen dan 2,500 perkongsian di media sosial,” jelasnya.

Ujar beliau, isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik adalah perkara serius kerana melibatkan simbol kedaulatan negara.

“Kesilapan ini boleh dianggap sebagai tindakan tidak menghormati negara sama ada disengajakan atau tidak dan menimbulkan kemarahan rakyat.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan media sosial secara berhemah serta mengelak memuat naik kandungan berunsur fitnah atau mengelirukan.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan Jalur Gemilang yang didakwa dipasang secara terbalik di hadapan sebuah premis baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast