KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus hari ini menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Beliau yang dikenali dengan nama panggilan Blade mengisi kekosongan jawatan itu bagi menggantikan Rusdi.
Sebelum ini jawatan tersebut dipangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.
Majlis serah terima tugas itu dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat, menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Fadil dan Mohamed Usuf.
Dalam pada itu Rusdi berkata, Polis Kuala Lumpur telah menerima peneraju yang baharu bagi meneruskan kesinambungan dan kepimpinan terdahulu serta tekad memberikan perkhidmatan kepolisan terbaik kepada masyarakat.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada atas kenaikan pangkat dan perlantikan selaku Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah dan kepercayaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia terhadap kredibiliti serta daya kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh Fadil.
“Justeru, berikanlah perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan amanah dan jangan sesekali mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan.
“Saya yakin, perlantikan Fadil selaku teraju baharu Polis Kuala Lumpur merupakan satu keputusan yang tepat,” ujarnya.
Menurutnya, pengalaman yang luas dimiliki Fadil dalam PDRM, pastinya akan memberikan pelbagai idea serta inisiatif yang bakal dilaksanakan untuk melonjakkan kecemerlangan pasukan Kontinjen Kuala Lumpur ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Saya percaya, melalui kepimpinan yang bakal dibawa, disokong dengan kerjasama yang tidak berbelah bahagi oleh warga kerja Kontinjen Kuala Lumpur,
“Usaha serta matlamat untuk mengekalkan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan di negeri ini akan sentiasa terlaksana,” katanya.
Rusdi turut meningatkan warga PDRM Kuala Lumpur bahawa tugas selaku penguat kuasa undang-undang pada masa kini semakin mencabar.
“Kesedaran masyarakat serta perkongsian maklumat yang amat luas pada hari ini telah membuka banyak ruang kepada masyarakat untuk menilai serta menghakimi tugas yang kita laksanakan.
“Andai kita berjaya, pujian akan diberikan. Namun, andai kita gagal, kesilapan yang kecil boleh dilihat sebagai satu kegagalan yang besar, sekali gus mendatangkan impak yang negatif kepada pasukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















