GEORGE TOWN – Jeritan seorang lelaki dari sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Kampung Melayu, Air Itam, di sini, awal pagi tadi membongkar insiden cemas apabila dia didapati tersangkut dengan tangan tertusuk besi pagar.
Kejadian kira-kira jam 5.29 pagi itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Syafizani Mohd Rosli berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa berusia lingkungan 40-an itu berada dalam keadaan kesakitan dengan tangan kanannya tertusuk besi pagar sepanjang 0.3 meter rumah berkenaan.
“Anggota memotong besi pagar menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi yang membabitkan lapan anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 6.42 pagi,” katanya.
Difahamkan, mangsa turut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut bagi menyiasat kemungkinan cuba memasuki rumah itu untuk tujuan pecah masuk. – MalaysiaGazette
















