KUALA LUMPUR – Kerajaan disifatkan gagal mengawal naratif dalam kes Zara Qairina Mahathir sejak awal sehingga membiarkan ruang maklumat insiden itu dipenuhi spekulasi dan teori konspirasi yang mempercepatkan pembentukan persepsi negatif di peringkat awam.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kelemahan pengurusan krisis itu boleh dilihat melalui beberapa aspek utama antaranya tiada komunikasi segera dan konsisten pihak berwajib menyebabkan jurang maklumat diisi oleh naratif tidak rasmi.
Beliau melihat wujudnya jurang naratif antara agensi utama selain tindakan kritikal seperti pelaksanaan bedah siasat hanya dilakukan selepas tekanan awam memuncak, sedangkan ia sepatutnya diambil sebagai langkah awal untuk menutup ruang spekulasi.
“Kawalan maklumat yang lemah membenarkan sentimen netizen berkembang menjadi gelombang kemarahan awam (public outrage), dan algoritma media sosial telah mempercepatkan penyebaran naratif alternatif yang mendominasi ruang wacana,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Siraj, situasi itu memberi implikasi strategik yang amat besar kepada kerajaan.
Daripada sudut politik, ujarnya, krisis itu membuka ruang kepada pembangkang dan aktivis untuk mengasak naratif bahawa kerajaan gagal melindungi rakyat kecil.
Daripada sudut sosial pula, katanya, risiko ketegangan kaum, agama, dan institusi (3R) meningkat akibat manipulasi naratif di media sosial.
“Dari sudut institusi pula, hilangnya information dominance telah melemahkan kredibiliti agensi penguatkuasaan, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti proses siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, menurut Siraj, bagi mengembalikan kawalan naratif dan keyakinan awam, beberapa tindakan strategik segera perlu diambil.
Antaranya, kata beliau, kerajaan perlu menubuhkan `central command communication’ dengan melantik seorang jurucakap tunggal berprofil tinggi untuk semua kenyataan rasmi.
Selain itu, tambahnya, kerajaan perlu melaksanakan transparency burst melalui pendedahan kronologi penuh siasatan secara berkala walaupun sebahagian daripadanya masih dalam siasatan.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu melibatkan tokoh awam yang neutral dan dipercayai rakyat bagi menerangkan proses forensik dan undang-undang secara objektif.
“Kerajaan juga perlu membentuk pelan pemulihan reputasi untuk jangka panjang melalui pengurusan telus bagi kes-kes serupa pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, krisis dalam kes Zara Qairina berupaya menjadi pengukur kredibiliti kerajaan dalam mengurus krisis berprofil tinggi yang menyentuh emosi rakyat.
Menurutnya, kegagalan mengekalkan dominasi naratif sejak awal telah memaksa kerajaan beroperasi dalam mod bertahan, manakala rakyat memegang kuasa penuh membentuk persepsi awam.
“Dalam ekosistem maklumat digital hari ini, kelewatan 24 jam sahaja sudah cukup untuk menukar krisis terkawal menjadi krisis reputasi nasional.
“Oleh itu, strategi komunikasi krisis yang terancang, pantas dan telus adalah keperluan mendesak untuk mengelakkan kerugian reputasi yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















