KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi golongan B40 ke bawah, golongan miskin tegar dan penganggur.
Cadangan tersebut disuarakan Datuk Larry Sng Wei Shien (Julau-PBM).
Wakil rakyat daripada blok kerajaan itu menyifatkan langkah berkenaan lebih berkesan berbanding memberi bantuan tunai kepada golongan kurang bernasib baik yang dibelenggu hutang pendidikan.
“Kerajaan patut mempertimbangkan untuk menghapuskan hutang bagi peminjam PTPTN daripada golongan B40 ke bawah, khususnya miskin tegar serta mereka yang telah lama menganggur.
“Daripada memberi bantuan tunai, adalah lebih berkesan untuk menghapuskan hutang tersebut (PTPTN) secara menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dalam masa yang sama, Larry turut menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan mencontohi kerajaan Sarawak yang mengambil inisiatif membantu peminjam dalam kalangan anak jati negeri itu untuk membayar hutang PTPTN.
“Bantu mereka yang benar-benar tidak mampu membayar. Jika Kerajaan Sarawak mampu membantu rakyat melangsaikan hutang PTPTN, mengapa kerajaan lain tidak boleh?
“Ini bukan soal kemampuan semata-mata tetapi persoalan kemahuan politik dan keikhlasan membantu rakyat,” katanya.
Sebagai rekod, Kerajaan Sarawak pada 5 Mac 2021 telah menandatangani memorandum persefahaman dengan PTPTN berhubung insentif bayaran balik pinjaman untuk anak negeri itu.
Kerajaan negeri Sarawak membayar 30 peratus daripada baki hutang PTPTN bagi peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang mereka.- MalaysiaGazette
















