KUALA LUMPUR – Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan, tiada lagi kompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah.
Menurutnya, ia merupakan beberapa langkah penting memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.
Ia melibatkan tambah baik kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM.
Menurutnya, SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.
Malah, audit keselamatan yang tertumpu kepada pematuhan semua SOP yang terkait dengan aspek keselamatan juga akan segera dilaksanakan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.
“Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.
“Sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan untuk dipermudahkan serta mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi,” jelasnya dalam kenyataan di sini.
Pada masa sama, jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM akan ditubuhkan bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan.
Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Selain itu, Program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.
Tambah beliau, aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Untuk ini, Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.
Pada masa sama, Mohd Azam menyeru semua pihak bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu kerana mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat adalah tanggungjawab bersama. – MalaysiaGazette
















