Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama pemaju Residensi Aman Madani di Putrajaya. - Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan sekolah menegak diwujudkan dalam kawasan pembangunan Projek Residensi Aman Madani atau pembinaan sekolah berhadapan residensi itu yang disambung jejantas.

Menurut Perdana Menteri, sekolah itu terbuka kepada semua penduduk setempat selain kemudahan mengikut kerangka Madani termasuk tadika, surau, klinik dan pusat keselamatan yang akan dibina kelak.

“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, menurut Anwar, beliau telah memanggil pemaju bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi membincangkan penyediaan sekolah menegak di kawasan residensi itu.

Katanya, walaupun terdapat sekolah rendah berdekatan kawasan itu, namun kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.

Sebelum ini, Anwar ketika melancarkan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri, di sini, baru-baru ini, mengarahkan pemajunya menyediakan semula kertas kerja perancangan pembangunan dan memastikan semua keperluan asas dipenuhi sebelum projek diteruskan sepenuhnya.

Ini kerana beliau mahu supaya setiap projek perumahan berskala besar perlu mengambil kira keperluan asas rakyat dan infrastruktur menyeluruh.

Tegasnya, pemaju hartanah tidak boleh hanya menumpukan kepada pembinaan unit kediaman semata-mata, sebaliknya perlu menyediakan prasarana lengkap seperti sekolah, tadika, pusat kesihatan dan kemudahan bagi menjamin kesejahteraan penduduk.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan pembangunan sekolah dengan konsep menegak yang menempatkan bangunan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dillaporkan berkata, syor itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast