JOHOR BAHRU – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melawat keluarga Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang maut selepas latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) di sini 28 Julai lalu.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, Dr Zambry mengunjungi keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada pukul 1 petang tadi.
“Pihak pengurusan tertinggi UTM turut mengiringi Menteri. Ziarah ini diadakan bagi menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan dari Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“UTM turut menzahirkan komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya
kepada pihak keluarga dan pihak berkuasa agar siasatan dapat dijalankan secara berhemah, telus dan adil,” menurut kenyataan berkenaan.
Sebelum ini ibu kepada Pegawai Pelatih Palapes berkenaan, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan tersebut.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, anaknya meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram di sini dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.
Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan terpecinci dan menyeluruh akan dilakukan.
Katanya, ini termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.- MalaysiaGazette
















