Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran yang dipamerkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ai Malaysia 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima tonggak utama Kerangka Kecerdasan Buatan (AI) Negara yang bakal memacu Ekonomi Madani serta menjadikan Malaysia sebagai Negara AI yang inklusif, dipercayai dan dibina untuk tujuan yang jelas.

Perdana Menteri berkata, tonggak tersebut merangkumi dasar yang berpandangan jauh, tenaga kerja yang tangkas dan celik digital, infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai, kemajuan kepercayaan digital dan pelaburan strategik yang membina ekosistem AI melalui kerjasama awam–swasta serta kolaborasi global.

“Melalui Kerangka AI Negara, kita akan pastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia, di setiap pelosok negara.

“Tonggak-tonggak ini akan memacu Ekonomi Madani, menjadikan AI sebagai teknologi yang maju, inklusif, dipercayai, dan dibina untuk tujuan yang jelas. Ini lebih daripada sekadar pelan hala tuju, ia adalah satu gerakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada ASEAN AI Malaysia Summit 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Menurut Anwar, Kementerian Digital dengan pejabat AI Negara sebagai terasnya akan memimpin pelaksanaan inisiatif ini bagi memastikan teknologi tersebut menjadi pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Jika dahulu lebuh raya dan pelabuhan menjadi pemacu kebangkitan ekonomi kita, kini kita akan membina lebuh raya pintar, saluran data yang selamat, bakat masa depan, dan landasan etika untuk AI. Inilah langkah besar seterusnya bagi Malaysia — dari penerapan kepada pembinaan negara,” ujarnya.

Beliau menegaskan, AI bukan hanya akan menjadi alat untuk segelintir pihak, sebaliknya kuasa untuk semua dalam memacu tadbir urus yang lebih baik, mencetuskan inovasi, dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Mengulas potensi rantau ini, Anwar berkata, ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk dan ekonomi digital yang berkembang pesat berada pada kedudukan unik untuk membangunkan AI secara inklusif, beretika, dan selari dengan nilai-nilai bersama.

“Jika kita mendepani detik ini dengan pandangan jauh dan keberanian, AI boleh merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan perniagaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam, serta memperluaskan akses kepada kesihatan, pendidikan, dan keadilan untuk semua,” katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN AI Malaysia Summit 2025 buat julung kali tahun ini selaku Pengerusi ASEAN, menghimpunkan pemimpin rantau dan pakar teknologi bagi membincangkan hala tuju AI di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast