KULAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di susur masuk ke Lebuh Raya Malaysia-Singapura kedua (LinKedua) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang berusia 42 tahun, bekerja sebagai pemandu bas terlibat dalam nahas tersebut ketika dalam perjalanan dari Bandar Senai ke susur masuk LinKedua, kira-kira 5 pagi tadi.
“Siasatan awal kejadian dipercayai berlaku tidak melibatkan kenderaan lain dan motosikal mangsa terbabas sendiri sebaik tiba dikawasan kemalangan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat kemudiannya dirujuk ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk proses bedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seng Lee meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















