Seorang bekas akauntan rangkaian tadika, rafida Basar, 29, dibawa bagi enam pertuduhan wang haram melibatkan pembayaran zakat zakat tadika itu bernilai, Rm 216,478 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 12 OGOS 2025.

SHAH ALAM – Bekas akauntan sebuah tadika pendidikan awal kanak-kanak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan RM216,478.

Tertuduh Rafidah Basar, 29, hanya mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Anas Mahadzir hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memindahkan wang hasil aktiviti haram sebanyak enam kali masing-masing berjumlah RM162,000; RM7,535; RM18,720; RM8,223; RM5,000; dan RM15,000 ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya sendiri setelah menipu dan memperdaya beberapa individu di syarikat tersebut bahawa pemindahan itu bertujuan untuk pembayaran zakat syarikat Little Caliphs.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di cawangan bank di sekitar Shah Alam antara 30 Ogos 2023 hingga 4 Mac 2024.

Rafidah Basar, 29, dibawa bagi enam pertuduhan wang haram melibatkan pembayaran zakat zakat tadika itu bernilai, Rm 216,478 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 12 OGOS 2025.

 

Berikutan itu, pendakwaan dibuat di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V. Mahjira mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 untuk semua pertuduhan dan  tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Iqmal Jamal yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan rendah sebanyak RM10,000 atas alasan anak guamnya sukar mendapat pekerjaan dan kini berpendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,200 hasil membantu ibunya menjual kuih.

“Tertuduh juga mempunyai kakaknya orang kurang upaya yang kini di bawah jagaan dia bersama ibunya, selain tertuduh juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan kes dijalankan serta tidak pernah gagal hadir ke mahkamah untuk kes sebelum ini,” katanya ketika prosiding berjalan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 atas semua pertuduhan dengan dua penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi sepanjang kes berjalan.

Mahkamah juga menetapkan serahan dokumen dan sebutan semula kes pada 6 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast