Chan Chun Kuang

KUANTAN – Rakyat perlu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang berkenaan isu pemasangan bendera terbalik.

Ahli Dewan Undangan Semambu (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata ini kerana polis sudahpun telah memulakan siasatan terhadap individu yang terlibat dalam insiden pemasangan Jalur Gemilang di Kepala Batas.

“Tindakan merakam dan menularkan kesilapan ini tanpa menegur secara langsung, seterusnya menjadikan media sosial sebagai medan penghakiman awam, adalah tidak wajar.

“Media sosial bukan platform untuk menjatuhkan hukuman, dan kita semua wajar mengelakkan penghakiman berasaskan emosi dan persepsi semata-mata,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar Chun Kuang insiden tersebut merupakan kes terpencil yang berlaku akibat kecuaian individu, dan pihak yang terlibat telah memohon maaf secara terbuka.

Tambahnya semua pihak, khususnya pemimpin politik, hendaklah mengelakkan retorik atau tindakan yang berpotensi memecah-belahkan rakyat.

Sebaliknya, proses perundangan perlu dihormati, dan teladan kepimpinan yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian masyarakat hendaklah diutamakan.

“Jangan kita lupa, masih ramai pengusaha, pemilik premis, dan rakyat Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik serta mematuhi tatacara yang betul,” tambahnya.

Tegasnya isu yang bakal mengugat keharmonian dan ketenteraman awam adalah tidak wajar sama sekali dijadikan modal politik, sebaliknya harus ditangani secara bijaksana dan berhemah demi kepentingan negara.

Terdahulu warganet mengecam tindakan dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang yang bertindak memasang dan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik selepas rakaman perbuatan itu tular di media sosial – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN : 

DAP patut anjur ‘Kursus Intensif Pasang Bendera Dengan Betul’

Tiada kompromi jika Jalur Gemilang terbalik punya agenda tertentu – Kamil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast