KUALA LUMPUR – Tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, sama ada kerana kecuaian ataupun dengan niat tertentu, ia tetap satu kesalahan yang tidak wajar dipandang enteng sama sekali.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sekiranya terdapat unsur sabotaj atau niat mencemar simbol negara, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa kompromi.
“AMK memandang serius insiden bendera Malaysia dipasang terbalik yang tular baru-baru ini.
“Jalur Gemilang merupakan simbol kedaulatan, maruah dan menjadi saksi kepada penyatuan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Jika perkara ini berpunca daripada kecuaian, justeru usaha dalam pendidikan nilai kenegaraan perlu dipergiat agar kesedaran sivik warga dapat berkembang dan diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Isnin lalu, Jalur Gemilang yang dikatakan dipasang terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Port Dickson, Negeri Sembilan dilakukan oleh pekerja Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagaimanapun guru besar sekolah tersebut dikatakan sudah memohon maaf secara terbuka kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat serta memberikan penjelasan penuh kepada pihak media.
Dalam pada itu, Kamil mengingatkan semua pihak khususnya pemimpin politik bahawa isu ini tidak wajar dijadikan pentas untuk membakar sentimen politik atau berbalas provokasi.
“Politik yang matang bukan tentang siapa paling lekas menuding jari, tetapi siapa paling pantas mencari jalan penyelesaian.
“Anak muda hari ini tidak mahu melihat pemimpin mereka menjadi juara retorik tetapi gagal merintis jalan penyelesaian
“Kita harus sedar bahawa sentimen yang dipanaskan secara sengaja mahupun tidak akan menutup ruang perbincangan rasional dan mengheret rakyat kepada polarisasi yang merugikan,” katanya.
Menurut Kamil, pimpinan muda tanpa mengira parti sepatutnya berperanan sebagai agen perpaduan dan memimpin perbincangan berhemah, bukannya mencipta jurang perpecahan.
“Kebenaran hanya akan muncul melalui proses siasatan yang telus dan adil dan bukannya melalui spekulasi atau tuduhan rambang di media sosial.
“Sejarah membuktikan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah menjadi milik mana-mana parti politik, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
“Memuliakannya bermakna kita mengangkat nilai kebersamaan, memelihara maruah negara melebihi ego politik, dan menolak segala bentuk perpecahan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, AMK akan terus kekal sebagai suara yang menyejukkan keadaan, menjernihkan perbualan dan mendidik masyarakat tentang kepentingan mempertahankan Jalur Gemilang, lambang perpaduan dan kedaulatan negara.
“Kita tidak akan mampu mempertahankan Jalur Gemilang di sempadan jika kita sendiri merobek semangatnya di meja perbualan.
“Biar bendera ini terus berkibar megah kerana kita bersatu menjaganya, bukan sekadar kita berlumba menunjuk siapa paling lantang mempertahan dalam nada yang menghina,” katanya.
Katanya, ruang perbahasan dan tenaga sepatutnya ditumpukan kepada perkara yang lebih penting untuk memberi manfaat kepada rakyat termasuk pemulihan ekonomi dan pengukuhan perpaduan.
“Kita kini berada di ambang sambutan kemerdekaan dan suasana ini sepatutnya dipenuhi semangat kebersamaan bukannya permusuhan.
“AMK menolak sebarang tindakan yang mengundang perpecahan dan menyeru agar rakyat bersatu mengekalkan keharmonian demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















