Logo AKPS
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Notis Penolakan Masuk (NTL) yang direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) melonjak 26 peratus bagi tempoh Mei hingga Julai lepas.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, jumlah kes NTL itu meningkat daripada 900 pada Mei kepada 987 pada Jun, sehingga mencecah 1,134 kes pada Julai 2025.

“Pemantauan di pintu masuk negara akan terus diperketat terutamanya pada waktu awal pagi, bagi mengekang cubaan masuk daripada sektor penerbangan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan seramai 40 warga Bangladesh telah diberi NTL ke Malaysia di KLIA1 berdasarkan maklumat awal dan trend kemasukan dalam satu operasi pemantauan awal hari ini.

“Mereka merupakan sebahagian daripada 134 warganegara asing yang diperiksa sejurus mendarat menerusi dua penerbangan dari Dhaka antara 1 pagi hingga 6 pagi,” katanya.

AKPS memaklumkan penolakan kemasukan itu dibuat selepas hasil semakan dokumen perjalanan, tujuan kemasukan dan tiket pulang mendapati niat kemasukan mereka mencurigakan serta tidak mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

“Kesemua individu itu akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AKPS memaklumkan tiga warga asing yang terdiri daripada dua warga Algeria dan seorang warga Iraq ditahan hari ini, kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan aktiviti mengemis di Balai Perlepasan, KLIA1.

Menurut kenyataan itu penahanan dibuat dalam satu operasi pemantauan “Ulat KLIA” yang dijalankan bersama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC) antara 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.

“Perbuatan mereka bukan sahaja melanggar syarat kemasukan ke Malaysia, tetapi turut menjejaskan imej negara serta mengganggu keselesaan penumpang di lapangan terbang.

“Ketiga-tiga mereka kemudiannya telah diserahkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen (JIM) Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan berasingan di sini. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast