SHAH ALAM – Seorang pengurus projek sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 68 pertuduhan pengubahan hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM600,000.
Tertuduh, R.Vikram Menon, 46, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh dua jurubahasa yang mengambil masa hampir satu jam di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindah dan melupuskan hasil daripada aktiviti haram dengan nilai keseluruhan RM688,916.85 ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya di sekitar Bandar Sri Damansara.
Ia membabitkan setiap transaksi secara atas talian dan wang tunai antara RM1,000 hingga RM90,463.33
Aktiviti pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan antara 17 Oktober 2023 hingga 15 Oktober tahun lalu menerusi 301 transaksi ke 67 akaun bank bagi tujuan pemindahan dan 159 transaksi melibatkan pelupusan.
Pendakwaan dibuat di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum diri selepas dikesan bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Amanina Wan Din mencadangkan jaminan sebanyak RM800,000 untuk semua pertuduhan bersama seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam mewakili tertuduh, S.Kulasegaran kemudian memohon jaminan rendah sebanyak RM10,000 atas alasan ikat jamin itu bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukan menghukum.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada minggu pertama setiap bulan, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















