Polis sedang mengesan Youssef Sameh Sayed Khaled Abdelwahab yang dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki warganegara Mesir yang dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kehilangan remaja tersebut semalam kira-kira pukul 6.14 petang.

Katanya, mngsa dikenali sebagai Youssef Sameh Sayed Khaled Abdelwahab, berusia 17 tahun dan merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta tempatan.

“Laporan polis telah dibuat oleh wakil dari pihak Taylor’s University selepas keluarga mangsa di luar negara gagal menghubunginya sejak lebih dua minggu lalu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azlan berkata, remaja lelaki itu mempunyai bentuk fizikal iaitu memilik ketinggian 175 sentimeter dengan berat badan 60 kilogram.

“Dia juga berkulit cerah memiliki dengan rambutnya hitam pendek, kerinting, berhidung mancung, mata biasa dan memiliki mulut yang nipis,” ujarnya

Sehubungan itu beliau menggesa, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa agar tampil membantu siasatan.

Tambahnya, mereka boleh hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi terus Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau 03-7862 7100.

Katanya, polis sedang giat menjalankan usaha mengesan remaja terbabit dan segala maklumat awam amat dihargai bagi membantu menyelesaikan kes itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast