KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana warganya yang terbabit dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah, rokok serta barang-barang lain.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, tindakan disiplin tegas serta tindakan undang-undang akan dikenakan jika terbukti bersalah.
“ATM mengambil maklum berkenaan laporan media mengenai penahanan beberapa pegawai ATM yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah, rokok serta barang-barang lain.
“Perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan ATM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM hari ini.
Sementara itu, Mohd Nizam menggesa masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Katanya, segala perkembangan berkaitan hasil siasatan dan tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.
Terdahulu, SPRM melaporkan berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang sejak operasi dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati, lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan. – MalaysiaGazette
















