TANGKAK – Wang simpanan seorang wanita RM261,640 lebur selepas terpedaya dengan tawaran kemenangan wang loteri RM1.5 juta kononnya dari pihak tokong.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kejadian tersebut bermula pada 28 Mei lalu apabila wanita tempatan berusia 58 tahun itu menerima mesej menerusi Whatsapp.
“Mangsa dikatakan menerima pesanan dari pihak tokong yang menawarkan wang kemenangan loteri sebanyak RM1.5 juta. Bagi mendapatkan itu mangsa perlu membuat pembayaran terlebih dahulu.
“Mangsa yang percaya membuat pembayaran melibatkan pindahan sebanyak 20 transaksi ke dalam satu mule account bermula 31 Mei sehingga 8 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, apabila tidak mendapat wang yang dijanjikan itu dan menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis di sini semalam.
Jelasnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran kemenangan wang loteri atau modus operandi memberi tawaran atau pelaburan dalam talian yang tidak munasabah.
Beliau menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam.
Orang ramai juga katanya, dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan ‘scam’ melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















