Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen.

KUALA LUMPUR – Seramai 4,194 penjawat awam diisytihar bankrap sejak 2020 hingga Jun tahun ini bersamaan 0.3 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Perkara itu direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan bagi membantu mereka yang berdepan masalah kewangan serius, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan khidmat nasihat, bantuan pengurusan kewangan serta program penstrukturan semula pembiayaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sebahagian besar masalah kewangan yang dialami penjawat ini adalah berpunca daripada komitmen hutang yang tinggi dan kos sara hidup yang meningkat.

Bagaimana katanya, kerajaan akan terus memantau supaya penjawat awam boleh mengurus kewangan mereka dengan berhemah.

“Bagi pegawai baharu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan Program Transformasi Minda (PTM) yang memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan peribadi bagi memastikan mereka mampu mengurus hutang secara berhemah.

“Selain itu, penjawat awam tertakluk kepada peraturan yang menetapkan gaji bersih bulanan tidak boleh kurang daripada 40 peratus bagi mengelak mereka berada dalam keberhutangan kewangan yang serius,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Hui Ying berkata, setakat Mac 2025, jumlah hutang isi rumah negara mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun kata beliau, ia kekal terkawal secara makro kerana aset kewangan isi rumah pada tempoh sama berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 2.1 kali ganda melebihi hutang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast