NIBONG TEBAL – Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) meneruskan komitmen terhadap pembangunan modal insan dengan menganjurkan Program My First Robot bersama dua sekolah angkat di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani (SAM).
Pengerusi JKSB, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, penganjuran My First Robot membuktikan komitmen syarikat dalam menyokong aspirasi pendidikan negara, khususnya bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kami percaya pendedahan awal ini akan memupuk minat, membina keyakinan diri, dan melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan kecerdasan buatan (AI).

“Era IR 4.0 akan membawa transformasi besar dalam landskap ekonomi global dengan menggabungkan teknologi canggih seperti Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin (ML), Big Data, Robotik dan Automasi, yang memerlukan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, program berasaskan pendidikan inovasi itu dilaksanakan dengan kerjasama School of Electrical and Electronic Engineering, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal.
“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif SAM yang diterajui Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pendidikan, serta dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
“Peserta diberi pendedahan awal bidang robotik menggunakan pre-fabricated kits merangkumi pemasangan mekanikal, sistem elektrikal dan asas pengaturcaraan.
“JKSB berharap pelaksanaan program seperti ini dapat menjadi pemangkin memperkukuh ekosistem pendidikan teknologi selari aspirasi nasional melahirkan modal insan berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Dua sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Batu Kawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Perai dengan penyertaan seramai 44 pelajar, masing-masing 22 orang dari setiap sekolah.
Sepanjang program tersebut, pelajar menerima bimbingan secara langsung daripada fasilitator Pasukan Robocon USM serta manual panduan bagi membantu proses pembelajaran.
Aktiviti dijalankan secara interaktif dan praktikal, membolehkan peserta mengasah kemahiran menyelesaikan masalah melalui reka bentuk, pembinaan dan ujian robot. – MalaysiaGazette















