KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar melahirkan kebimbangan terhadap insiden serangan menimpa keluarga Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya dekat sini hari ini.
Maklumat yang dikongsi menunjukkan serangan berkenaan dirancang dan tindakan yang berani dilakukan di kawasan awam. Keadaan ini amat membimbangkan, katanya.
“Kita tidak boleh membiarkan insiden seperti ini menjadi normal baharu. Serangan terhadap ahli politik dan keluarga mereka adalah satu bentuk ancaman langsung terhadap demokrasi, keselamatan awam dan kestabilan negara.

“Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan pantas, tegas dan menyeluruh, memastikan siasatan dijalankan secara telus, punca sebenar didedahkan, serta pelaku dihadapkan segera ke muka pengadilan.
Keselamatan rakyat adalah hak asasi yang mesti dipelihara tanpa kompromi. Rakyat Malaysia berhak keluar rumah, membawa keluarga ke tempat awam dan menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut atau bimbang terhadap ancaman jenayah yang terancang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu di GEORGE TOWN, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengecam tindakan kejam terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan dalam satu insiden di Putrajaya hari ini.
AMK negeri dalam kenyataan berkata, perbuatan menggunakan jarum suntikan dalam kejadian berkenaan disifatkan sebagai bentuk keganasan terancang yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Ini adalah usaha pengecut untuk melemahkan keberanian dan semangat juang individu tertentu. Keganasan bukanlah budaya masyarakat kita dan tidak boleh dibiarkan menjadi norma,” katanya.
AMK Pulau Pinang turut menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera berhubung insiden ini.
“Kami yakin segala kepakaran PDRM akan digunakan bagi memastikan penjenayah ini dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Kita juga mendoakan agar anak Rafizi segera sembuh, diberikan kekuatan serta sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, Rafizi dalam kenyataan di Facebook menegaskan beliau percaya serangan ke atas keluarganya adalah satu amaran supaya dia tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa sepanjang menjadi seorang ahli politik berprofail awam, ia kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.
Mengulas mengenai kejadian, Rafizi berkata, ia berlaku sekitar 1.45 petang, semasa anak dan isterinya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli belah di Putrajaya secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan. – MalaysiaGazette
















