Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengesahkan dapatan siasatan kematian Zara Qairina adalah selari dengan diagnosis awal pada 17 Julai lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kecederaan yang ditemui pada tubuh mangsa adalah konsisten dengan penemuan sebelum ini iaitu kecederaan yang dialami akibat kerosakan otak.

“Dapatan ini diperoleh hasil bedah siasat pada 10 Ogos lalu yang dikendalikan tiga doktor pakar forensik terdiri dari Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dibantu dua lagi doktor Hospital Queen Elizabath.

“Kita mendapati punca kematian adalah konsisten dengan diagnosis awal bahawa punca kematian adalah disebabkan kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati Hypoxic-ischemic,”katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Sementara itu, Kumar berkata, seramai 124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah sedang menjalani proses intervensi bagi memulihkan semula keyakinan mereka susulan kematian Zara Qairina.

Kumar berkata, selain daripada siasatan, pihak polis turut mengambil pendekatan proaktif membabitkan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ menjalankan intervensi kepada pelajar sekolah terbabit.

“Kesemua pelajar yang kita kesan ini mengalami truama akibat insiden tersebut dan sedang menjalani proses intervensi.

“Intervensi ini adalah satu proses digunakan elemen psikiatri dan sebagainya untuk memulihkan keyakinan supaya tahap keyakinan kembali dan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast