KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah digerakkan segera untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian tersebut dan komited membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Perlu saya tegaskan juga bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin telah menghubungi dan bercakap sendiri dengan Rafizi sejurus dimaklumkan mengenai insiden itu selain menyampaikan simpati dan doa agar anaknya segera pulih.
“Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan yang mendalam kepada Rafizi Ramli dan keluarga atas insiden serangan yang melibatkan anak beliau di Putrajaya dan mendoakan agar anak beliau segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan, semua siasatan akan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak.
“Selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak. Keselamatan rakyat adalah keutamaan dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman,” katanya.
Saifuddin turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden tersebut.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang,” katanya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam keras insiden tersebut yang disifatkan sebagai satu perbuatan jahat dan khianat.
Anwar sendiri telah menghubungi Saifuddin bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan segera.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mendakwa dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook, beliau mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.
Kejadian itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.
Ketika kejadian, Rafizi berkata, anak lelakinya ada bersama isterinya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















