PONTIAN – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Pontian/Kukup di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohd Shoffee Tayib berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 6.47 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Pontian menuju ke Kukup.
“Sebaik melalui kawasan berkenaan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya lalu merempuh bahagian belakang Perodua Alza yang sedang berhenti.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan menyebabkannya dilanggar sebuah kereta Honda Jazz.
“Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Shoffee berkata, kemalangan itu turut menyebabkan motosikal mangsa rosak teruk manakala kedua-dua badan kereta mengalami kerosakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pihaknya meminta saksi kejadian tampil menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau Inspektor Aiman Faiz Jusoh 011-265 61677 bagi membantu siasatan.
“Selain itu, orang ramai perlu sentiasa berwaspada di jalan raya serta mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan demi keselamatan semua pihak,” katanya.- MalaysiaGazette
















