KUALA LUMPUR – Polis telah menahan empat lelaki dan merampas minyak diesel yang diseleweng bernilai RM602,220 dalam dua serbuan berasingan di Jalan PJU 1/23 di Petaling Jaya, Selangor, awal pagi semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Jafri Muhamad berkata, serbuan dilakukan hasil risikan berhubung aktiviti penyelewengan dan penyimpanan minyak diesel secara haram.
Operasi yang dijalankan pada jam 12.30 tengah malam itu melibatkan Batalion 4 PGA Semenyih dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Petaling Jaya.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan empat lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan di premis tersebut menemukan 2,500 liter minyak diesel, dua ‘kepala’ lori, sebuah lori, empat tangki IBC, sebuah tangki skid, dua unit pam penyedut jenis digital serta lima telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menjumpai 8,000 liter minyak diesel bersama sebuah tangki skid, seunit pam penyedut dan getah paip yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan serta penyimpanan minyak diesel secara haram.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Petaling Jaya dan KPDN Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















