PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berpotensi dipanggil sebagai saksi penting dalam prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan keberadaan titah adendum yang dipohon oleh Datuk Seri Najib Razak.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Peguam Negara itu boleh disepina untuk memberi keterangan secara fizikal atau melalui pengikraran afidavit.
Katanya, tindakan mengemukakan sepina terhadap Ahmad Terrirudin merupakan sebahagian daripada proses undang-undang dalam usaha anak guamnya memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Menurut beliau, selain Ahmad Terrirudin, beberapa pegawai lain di Jabatan Peguam Negara (AGC) juga boleh dipanggil mengemukakan keterangan pada pendengaran di Mahkamah Tinggi yang akan ditetapkan kelak.
“Selain daripada proses pertukaran afidavit, ada banyak peruntukan lain dalam Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang mana kita boleh buat permohonan penzahiran dokumen untuk segera mengenal pasti keberadaan titah adendum.
“Kita juga boleh menyiasat pihak satu lagi agar mereka mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku sehingga titah itu masih tidak dizahirkan setelah sekian lama.
“Untuk itu, kita boleh sepina beberapa saksi yang diperlukan, sama ada memberi keterangan secara afidavit ataupun secara fizikal.
“Umpamanya, dalam kes titah adendum ini, kita boleh panggil Ahmad Terrirudin sendiri untuk mengetahui sama ada beliau menerima (titah itu) atau tidak (ketika memegang jawatan Peguam Negara),” katanya semalam.
Sehubungan itu, selaku peguam yang mewakili Najib, beliau selanjutnya menyatakan, pasukannya sedang mempertimbang untuk mengemukakan permohonan penzahiran dokumen (discovery of document) dalam prosiding tersebut.
Ujar Muhammad Shafee, pasukannya perlu melakukan proses pengemukaan keterangan dan fakta secara ketat ketika pendengaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri.
“Kita boleh mohon penzahiran dokumen agar pihak kerajaan mendedahkan segera keberadaan titah itu yang telah tertangguh selama setahun setengah,” katanya.
Muhammad Shafee menyatakan demikian pada sidang media selepas Mahkamah Persekutuan mengumumkan menolak rayuan Peguam Negara berkaitan titah adendum.
Beliau menjelaskan senario perjalanan prosiding ketika mengulas keputusan panel hakim yang mengekalkan perintah Mahkamah Rayuan mengembalikan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16. – MalaysiaGazette
















