Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

KUANTAN – Kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengalu-alukan penyokong Pas meneruskan Siri Jelajah Perikatan Nasional (PN) ke Jelai didakwa hanya menyembunyikan kebimbangan Kerajaan Negeri Pahang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa penganjuran ‘Hogoh Jelai’ pada bulan Oktober ini membuatkan kerajaan negeri dalam keadaan terdesak.

“Kalau buah ni, kalau kita tak ‘hogoh’, dia tak jatuh. Jadi, kita akan kuatkan lagi ‘hogoh’ ini dan sebenarnya kita turun semua DUN, (cuma) DUN lain tu tidak rasa sangat.

“Bila DUN Menteri Besar ni kalau kita pergi, nampak lain macam dia. Risau jugalah nampak,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Sebagai rekod, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai disandang Wan Rosdy sejak lima penggal lalu.

Tambah Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang, rakyat di negeri ini tidak perlu risau apabila pembangkang bertambah kuat di negeri ini kerana banyak manfaat yang akan diberikan kerajaan negeri.

Sambil merujuk kepada program ‘Hogoh Jelai’, Tuan Ibrahim berkata, mungkin jalan tidak berturap di kawasan itu akan diturap disebabkan program berkenaan.

“Kalau kita pergi ‘Hogoh Jelai’, saya rasa yang tak turap pun akan diturap, jambatan emas (dibina) tu saya tak pastilah.

“Parit akan dibina, maknanya apabila kita turun ke Jelai, rakyat juga dapat manfaat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast