SEGAMAT – Seorang pemuda yang diupah along Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan khianat dengan api dan membakar lima buah rumah sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas, bulan lalu.
Chew Hong Joe, 21, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Rahim Abd Majid.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian wanita warga emas, Tan Ah Gek, 72, di sebuah rumah di Jalan Francis Khoo, Kampung Bukit Siput di sini pukul 4 pagi, pada 25 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga keenam pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api menggunakan petrol ke atas lima buah rumah mangsa berusia 42, 46, 72, 75 dan 77 tahun dengan semuanya di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Harcharanjit Singh.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius dan tidak boleh dijamin selari dengan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Selepas itu tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan ugutan jenayah melalui notis ditampal pada pagar rumah dua individu berusia 49 dan 54 tahun.
Dia yang merupakan penuntut jurusan undang-undang sebuah universiti swasta tidak mengaku salah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan terhadap rumah ibadat dan pagar di Jalan Francis Khoo, Kampung Bukit Siput dan Taman Ria di sini pada pukul 4 dan 6.45 pagi.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Majistret Dhilip Nair Atchuthan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Pihak pendakwaan kes itu diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tajd.
Semalam, Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad dalam sidang media berkata, suspek berkenaan mendapat upah sehingga RM1,000 untuk melakukan kerja-kerja khianat dengan api.
Katanya, upah itu diberikan along Singapura sebelum suspek ditahan bersama-sama kekasihnya yang berusia 19 tahun di Subang Jaya, Selangor seminggu selepas kejadian.
Menurutnya, suspek ada pada awalnya hanya mahu membakar sebuah rumah tetapi api mereka sehingga membakar lima buah rumah.
Dalam kejadian tersebut juga lima buah kenderaan musnah.- MalaysiaGazette
















