KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dibuat tanpa campur tangan politik sebaliknya berdasarkan perspektif jangka panjang dengan melihat kepada ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Petronas mengambil contoh langkah Brazil yang apabila memperoleh kawasan minyak hingga mencecah tahap maksimum kemudian dijual untuk menambah pelaburan sebagai aset baharu.
“Sebab itu kita lihat ada beberapa negara seperti di Brazil, dia ada tujuh blok sektor huluan, tiga blok pembangunan dan empat blok penerokaan.
“Ini harus kita faham keputusan dan kebijaksanaan sepertimana yang berlaku di Kanada menjadikan pasaran yang strategik kerana kekuatan rizab gas asli itu besar sekitar 50 trilion kaki padu (TCF).
“Penilaian semula aset huluan seperti mana berlaku di Brazil itu penting dilakukan terus-menerus.
“Mengikut pengalaman kita, kita serahkan kebijaksanaan dan pertimbangan komersial itu serta pelaburan kepada Petronas tanpa campur tangan politik,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengenai rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dan strategi syarikat berkenaan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil.
Perdana Menteri juga berkata, beberapa aset lama dilepaskan untuk menambah termasuk kemasukan TotalEnergies Perancis, gergasi dalam bidang gas dan minyak serta ENI, gergasi dalam bidang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), Itali.
“Itu menyebabkan PETRONAS bergerak bersama dengan syarikat ini di rantau, manakala portfolio (deepwater) di Suriname, dalam konteks PSC, di Indonesia bersama Pertamina melalui PSC Serpang dan Binaiya.
“Kerjasama dengan XRG dan beberapa syarikat lain untuk blok 1 PSC berlaku di Turkmenistan, manakala di Vietnam pula, Abu Dhabi menyerahkan kepada syarikat yang bukan dari Barat. Malaysia, Petronas telah diberikan onshore Block 2 (ON2),” katanya.
Jelasnya, penjualan oleh Petronas di Sudan Selatan pula adalah kerana peperangan di antara Sudan dan Sudan Selatan susulan keselamatannya membimbangkan.
“Walau bagaimanapun kerana operasi itu sejak 1993/94, Petronas telah mencatat keuntungan yang cukup, maka diambil keputusan atas dasar keselamatan menjual asetnya di Selatan Sudan,” katanya.
Kata Perdana Menteri lagi, beberapa langkah lain yang diambil termasuk CCUS dan sesuai dengan hala tuju peralihan tenaga seperti mana ASEAN Power Grid dari Vietnam ke Kelantan dan turun ke Singapura.
“Itu akan diteruskan dan ini tentunya besar. Begitu juga perbincangan awal dengan Kerajaan Sarawak, Petronas dan TNB bersama Kerajaan Sarawak untuk kabel bawah laut dari Sarawak ke Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















