Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 75 persatuan penduduk di sini bersama lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah keras Pewartaan Kaedah-Kaedah Wilayah Persekutuan (Permohonan Kebenaran Merancang) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bantahan difahamkan susulan ketiadaan sebarang proses rundingan awam sebelum peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Menurut Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili kumpulan tersebut, pewartaan itu disifatkan bersifat regresif kerana menggantikan Kaedah-Kaedah (Pembangunan) 1970, satu peraturan yang telah dipraktikkan selama lebih 50 tahun berdasarkan prinsip keterlibatan komuniti.

KLRA+SD menegaskan, langkah DBKL itu bercanggah dengan aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 yang digariskan sendiri oleh pihak berkuasa bandar raya tersebut yang kononnya dibangunkan melalui proses rundingan awam yang menyeluruh.

Dalam kenyataan yang sama, pertubuhan itu memaklumkan bahawa kaedah baharu tersebut menghapuskan kewajipan pemberitahuan awam dan hak komuniti untuk mengemukakan bantahan serta mengadakan sesi pendengaran.

“Selain itu, kaedah ini juga difahamkan mengetepikan keperluan memaklumkan kepada pemilik tanah bersebelahan mengenai sesuatu cadangan pembangunan.

“Malah keputusan-keputusan berkaitan permohonan kebenaran merancang kini tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Datuk Bandar tanpa mekanisme semak dan imbang sekali gus membuka ruang kepada ketidakkonsistenan dan menghakis keyakinan awam terhadap proses perancangan bandar,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, penglibatan awam dalam proses perancangan adalah penting bagi melindungi keselamatan dan kepentingan komuniti daripada risiko bencana seperti tanah runtuh, banjir kilat, kesesakan lalu lintas serta kemerosotan alam sekitar.

Tanpa proses perundingan yang wajib, laporan-laporan penting seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) dibimbangi tidak akan dikongsikan secara terbuka kepada orang ramai.

Sehubungan itu, KLRA+SD menggesa DBKL menangguhkan pelaksanaan kaedah-kaedah baharu berkenaan sehingga satu konsultasi awam yang menyeluruh dijalankan melibatkan komuniti terjejas, agensi teknikal dan pihak berkepentingan.

Kumpulan itu turut menuntut agar senarai pembangunan yang masih diproses berdasarkan Kaedah 1970 didedahkan kepada umum selain menyeru agar keperluan pemberitahuan rasmi kepada persatuan penduduk dipulihkan dengan tempoh maklum balas yang jelas.

Mereka juga menekankan keperluan untuk semua keputusan daripada Datuk Bandar disertakan justifikasi bertulis dan diterbitkan secara terbuka bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast