Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin menyifatkan perhimpunan mengibarkan Jalur Gemilang yang dianjurkan Pemuda UMNO di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam sebagai tindakan politik murahan bertujuan menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, tindakan yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh bukan sahaja tidak membantu merapatkan jurang masyarakat, malah mencemarkan semangat sebenar sambutan Hari Kebangsaan.

“Perarakan tersebut amat dikesali kerana bendera Malaysia dan sambutan Hari Merdeka seharusnya menjadi lambang perpaduan, bukannya mengeksploitasi kesilapan satu komuniti bagi meraih keuntungan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Akmal hanya menonjolkan kesilapan pihak lain sambil mengetepikan kesilapan yang pernah dilakukan oleh pihaknya sendiri, termasuk ahli UMNO dari negeri lain.

“Pendekatan bersifat selektif ini jelas memperlihatkan betapa cetek dan murahnya pendekatan politik beliau. Ia langsung tidak menggambarkan patriotisme sebenar,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa seruan ‘Merdeka’ yang dilaungkan pada perhimpunan tersebut sewajarnya disertai dengan nilai pernah ditekankan oleh Tunku Abdul Rahman ketika Proklamasi Kemerdekaan iaitu kebebasan, keadilan dan khidmat bakti demi membina negara yang menjadi sinar harapan kepada dunia.

“Malaysia seharusnya terus menginspirasikan harapan, bukan dijadikan medan untuk menimbulkan ketakutan dan perpecahan kerana obsesi terhadap perhatian dan politik murahan.

“Apa yang dipamerkan oleh Akmal bukan bentuk patriotisme sebenar, sebaliknya suatu sikap kebudak-budakan yang mencalar imej serta prinsip yang sering dilaungkan oleh beliau sendiri. Wahai Akmal, tolong jadi matang dan henti aksi-aksi remeh seperti ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast