KUALA LUMPUR – Feruni, jenama peneraju dalam industri jubin Malaysia terus melakar sejarah apabila karya muralnya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Mural Ukiran Jubin Terbesar di negara ini.
Karya mural berukuran 14 meter itu dihasilkan oleh Studio Feruni menggunakan teknik ukiran tangan yang rumit menerusi kolaborasi bersama studio kreatif terkenal, Loka Made dengan koleksi Mosaic of Harmony.
Ketua Pegawai Eksekutif Feruni, Datuk C.C. Ngei berkata, sebagai jenama yang berteraskan transformasi, pihaknya melihat kolaborasi bersama artis seni tempatan membawa makna yang besar yang melangkaui aspek reka bentuk.
Menurut beliau, ia membentuk budaya, memberi impak kepada masyarakat dan mempengaruhi cara membentuk ruang hidup dan bekerja serta menjadikan setiap ruang sebagai pengalaman yang bermakna.
“Tahun ini, Feruni menampilkan kerjasama kreatif bersama artis seni tempatan dan memperkenalkan hala tuju reka bentuk baharu menerusi rangkaian koleksi jubin yang memukau.
“Ia berpaksikan keyakinan bahawa seni bukan sekadar estetik tetapi sebuah kuasa yang menghubungkan, mengekspresikan dan mengubah, untuk dirasai serta dihayati setiap hari.

“Justeru, koleksi baharu kami mengangkat falsafah ‘The Art and The Artist’ yang meraikan gabungan kreativiti dan pertukangan halus di mana setiap karya bukan sahaja mempamerkan inovasi reka bentuk dan ekspresi seni malah membawa perspektif unik para artis, menjadikan setiap jubin sebagai hasil seni yang penuh nilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini sempena pelancaran terbaharu koleksi jubinnya bertemakan ‘The Transformative Power of Art’.
Ia menyaksikan Feruni tampil berkolaborasi dengan artis seni tempatan menghasilkan koleksi yang meraikan seni dan inovasi seperti Farah Mohan yang juga pengasas Novak Batik yang menggabungkan keindahan tekstil warisan Malaysia dengan kanvas moden jubin.
Mengulas lanjut, Ngei menambah, sebagai sebahagian strategi pertumbuhan, Feruni akan terus mengembangkan kolaborasi rentas industri dengan artis dan pereka tempatan serta merancang untuk memasuki pasaran baharu secara berfasa bermula di Asia Tenggara,
“Kemudian kami akan Asia dan seterusnya ke peringkat global di mana Feruni juga akan memperkenalkan konsep Feruni Retail Store 2.0 yang akan dilaksanakan di ibu pejabat terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















