Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour bercakap pada sidang media mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan pada Suku Kedua 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan perkembangan tarif perdagangan akan mempengaruhi prospek global dan dalam negeri untuk baki tahun ini.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, persekitaran luaran kekal mencabar di sebalik ketidakpastian berkaitan tarif terus wujud dan kesannya akan mengambil masa sebelum benar-benar dirasai.

“Meskipun begitu, Malaysia menghadapi kesemua cabaran ini dari kedudukan yang kukuh.

“Ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh disokong oleh
permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan struktur eksport yang pelbagai.

“Kesemua asas ini, bersama-sama dengan pembaharuan struktur yang berterusan memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi landskap global yang sentiasa berubah-ubah.

“Walaupun terdapat risiko luaran, pertumbuhan ekonomi disokong teguh oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan yang berfungsi sebagai penampan terhadap rintangan global.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.

Abdul Rasheed menambah, pengembangan aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan berterusan pelaburan swasta yang diluluskan dan pelaksanaan pelan induk nasional.

Katanya, prospek eksport Malaysia boleh dipertingkatkan oleh keputusan yang memberangsangkan daripada rundingan perdagangan yang masih berlangsung.

“Ia termasuk dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju serta aktiviti pelancongan yang giat.

“Pelaksanaan berterusan pembaharuan struktur seperti pelan induk nasional dan langkah-langkah pembaharuan fiskal, adalah sangat penting bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan,” katanya.

Abdul Rasheed turut memberitahu, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus pada tahun ini berikutan keadaan kos dan permintaan yang sederhana.

“Inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana dengan purata antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus pada tahun 2025.

“Julat unjuran inflasi keseluruhan pada tahun ini disemak kepada julat yang lebih rendah berikutan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana berbanding unjuran pada bulan Mac lalu.

“Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana.

“Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka kekal terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast