KUALA LUMPUR – Ringgit mencatatkan prestasi cemerlang apabila nilainya meningkat berbanding mata wang rakan dagangan utama negara pada suku kedua tahun ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pada suku tersebut, kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit bertambah sebanyak 1.5 peratus.
Menurutnya, ringgit mengukuh sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sebahagian besarnya didorong oleh kelemahan dolar negara itu secara meluas.
“Keadaan ini didorong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan, ketidakpastian yang semakin ketara berhubung dengan dasar perdagangan AS dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kestabilan fiskal AS.
“Selain itu, usaha terselaras yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan BNM termasuk libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur, telah menggalakkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik seperti yang diperhatikan dalam suku kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.
NEER mengukur prestasi ringgit berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed menambah, kadar pertukaran ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran.
Namun katanya, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan bersama-sama dengan inisiatif berterusan bagi menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan kepada ringgit.
Menurut beliau, BNM kekal komited untuk memastikan fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur.
“Ringgit mengukuh 5.9 peratus berbanding dolar AS tahun ini setakat 13 Ogos lalu, manakala berasaskan NEER, ringgit meningkat sebanyak 2.1 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette
















