Sebanyak 17 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Terengganu dan Pahang melakukan pemeriksaan pada sebuah 'kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A di Kemaman, Terengganu. Foto MALAYSIAGAZETTE, 15 OGOS 2025.

CHUKAI – Tiada sebarang bahan kimia berbahaya atau mayat manusia ditemukan dalam kapal “hantu” yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, sebanyak 17 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia (JLM) Terengganu terlibat dalam pemeriksaan selama sejam di tiga aras kapal sepanjang 53.7 meter (m) dan selebar 10m itu di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Sebanyak 17 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Terengganu dan Pahang melakukan pemeriksaan pada sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A di Kemaman, Terengganu. Foto MALAYSIAGAZETTE, 15 OGOS 2025.

Beliau berkata, pihak bomba telah menggunakan dua jenis alat berteknologi tinggi iaitu Four Gas Meter (FGM) dan Gasmet untuk mengesan kehadiran sebarang bahan atau gas berbahaya di dalam kapal berkenaan.

“Pihak HAZMAT telah menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan sebarang bacaan daripada bahan kimia atau gas berbahaya di ketiga-tiga aras kapal.

“Didapati kawasan itu selamat dan tiada petunjuk kehadiran jasad manusia. Pada mulanya memang terdapat bau kurang menyenangkan, tetapi selepas diperiksa ia berpunca daripada bahan mentah dalam peti sejuk,” katanya pada sidang media di Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.

Sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A di Kemaman, Terengganu. Foto MALAYSIAGAZETTE, 15 OGOS 2025.

Abdul Halim berkata, kapal ‘hantu’ seberat 293 tan itu akan diserahkan kepada JLM untuk tindakan lanjut.

Selain itu, pihak Maritim akan menjalankan rondaan secara berkala di sekitar kawasan kapal bagi memastikan tiada aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kapal ini akan diserah kepada JLM untuk tindakan selanjutnya. Untuk sementara waktu ia akan ditempatkan di KSB sehingga proses seterusnya selesai,” katanya.

Terdahulu kapal “hantu” itu berjaya ditunda ke KSB, di sini kira-kira 11.30 pagi tadi sebelum pemeriksaan keselamatan pada 3.30 petang. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast