KUALA LUMPUR – Turiya Berhad hari ini mengumumkan cadangan pengambilalihan Wisma Sentral Inai, sebuah bangunan pejabat bebas milik setinggi 12 tingkat di Jalan Tun Razak dengan nilai RM135.0 juta menerusi transaksi tunai sepenuhnya.
Pembelian tersebut direalisasikan melalui langganan penuh Saham Keutamaan Boleh Ditebus (RPS) oleh pemegang saham utama dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Shamir Kumar.
Dalam satu kenyataan, Turiya berkata, pengambilalihan ini menunjukkan kemampuan mereka untuk memperoleh aset mercu di kawasan Central Business District (CBD) tanpa pencairan ekuiti sekaligus menunjukkan keyakinan dan komitmen kepimpinan terhadap agenda transformasi syarikat.
Katanya, struktur pembiayaan RPS yang digunakan membolehkan anak syarikat, Turiya Properties Sdn. Bhd., mengekalkan 100 peratus pemilikan di samping memberikan fleksibiliti untuk menyusun semula pembiayaan jangka panjang pada masa hadapan.
“Pengambilalihan Wisma Sentral Inai menandakan fasa baharu dalam perjalanan transformasi Turiya dan memperkukuh strategi jangka panjang Kumpulan dalam membina portfolio aset bernilai tinggi.
“Tawaran pembiayaan tunai sepenuhnya membolehkan syarikat bertindak pantas ke atas peluang pasaran tanpa menjejaskan pegangan ekuiti dan membolehkan langkah penyusunan semula pembiayaan yang lebih bersasar pada masa sesuai,” katanya hari ini.

Terletak kurang daripada satu kilometer dari The Exchange TRX dan 2.2 km dari Menara Berkembar Petronas, Wisma Sentral Inai menawarkan lebih 233,000 kaki persegi ruang boleh disewa bersih serta 310 ruang letak kereta bawah tanah.
Turiya berkata, kedudukan bangunan tersebut yang mempunyai keterlihatan tinggi dan akses mudah kepada jalan utama menjadikannya aset yang menarik bagi penyewa utama atau berbilang penyewa yang mencari alamat pusat bandar yang berprestij.
Tambahnya lagi, pengambilalihan bangunan dalam keadaan kosong menyediakan platform segera untuk memulakan kerja penambahbaikan, penglibatan penyewa serta strategi penjenamaan semula tanpa kekangan operasi daripada kontrak sedia ada. -MalaysiaGazette















