SHAH ALAM – Bermula tahun depan, semua ahli Parlimen perlu menggunakan sejumlah peruntukan untuk pembelian uniform bagi Angkatan Pertahanan Awam (APM) di kawasan masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan langkah menggalakkan pemerkasaan penyertaan unit beruniform berkenaan.
Tambahnya, galakan tersebut juga terpakai kepada semua kementerian.
“Untuk semua kementerian kita telah galakkan untuk penyertaan mereka, begitu juga semua Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Tekonologi Mara (DATC UiTM), hari ini.
Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses melaksanakan pemberian elaun latihan kepada pelatih Kor SISPA dan ia sedang diusahakan oleh JPA,” katanya lagi.
Pada tahun lalu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian elaun latihan kepada pelatih Kor SISPA bermula 2025 untuk menarik minat pelajar menyertai pasukan sukarelawan itu.
Ujarnya, cadangan tersebut bagi meringankan beban kewangan pelatih Kor SISPA.
Beliau berkata, terdapat tiga sukarelawan di universiti iaitu Askar Wataniah, Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Kor SISPA, namun hanya Kor SISPA yang tidak diberikan elaun.-MalaysiaGazette
















