KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang bukan sahaja biadab, bahkan berbentuk jenayah buli dan pengecut.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perbezaan pendapat atau persaingan mesti diselesaikan melalui saluran undang-undang, hujah, dan dialog, bukannya mensasarkan keluarga untuk melemahkan seseorang pemimpin.
“Menyasar ahli keluarga apatah lagi anak kecil yang tidak berdaya adalah tindakan yang melampaui batas kemanusiaan dan undang-undang.
“Serangan ini memberi isyarat berbahaya bahawa ada pihak yang sanggup menempah keganasan demi mencapai agenda tertentu.
Sama ada ia dilakukan oleh musuh politik yang bacul atau kumpulan penjenayah upahan, kedua-duanya adalah ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan anak lelaki kepada Ahli Parlimen Pandan itu diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.
Mahfuz juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara memburu dan menangkap pihak terlibat tanpa mengira kedudukan atau pengaruh.
“Dedahkan kepada rakyat siapa dalang sebenar serangan ini. Berikan perlindungan keselamatan untuk Yang Berhormat Rafizi dan keluarganya.
“Pastikan hukuman setimpal ke atas jenayah buli anak Yang Berhormat Rafizi sebagai pengajaran bahawa ancaman terhadap keluarga tidak akan dibiarkan berulang.
“Begitu juga hukuman terhadap penjenayah buli ke atas adik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan lain-lainnya,” katanya.
Katanya lagi, semua pihak sama ada dalam politik, perniagaan atau mana-mana bidang mesti menolak budaya menggunakan keluarga sebagai sasaran serangan.
“Serangan terhadap anak Rafizi adalah tamparan kepada nilai kemanusiaan kita.
“Jika kita biarkan, hari ini anak Rafizi, esok mungkin anak orang lain pula menjadi mangsa.
“Undang-undang mesti menjadi benteng dan keadilan mesti ditegakkan sekarang, bukan esok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















