Ahmad menyampaikan bantuan kepada pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta Parlimen Pontian, di Pontian hari ini.

PONTIAN – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat rundingan kerusi antara dua gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN dijangka mendominasi kerusi luar bandar manakala PH pula diberi kerusi bandar.

“Agihan kerusi ini yang berjaya dimuktamadkan memberi isyarat positif gabungan BN-PH sedang berada di landasan tepat untuk pecutan terakhir bagi menghadapi PRN Sabah.

“Jumlah kerusi (diperoleh BN) saya tak boleh beritahu kerana akan diumum pucuk pimpinan parti.

“Namun apa yang boleh diberitahu adalah kerusi bandar milik PH, sama ada DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala BN lebih fokus di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian bantuan kepada pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta Parlimen Pontian, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memaklumkan pengagihan kerusi antara BN dan PH menjelang PRN Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan memaklumkan, tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini, sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, seterusnya memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata persiapan BN dan UMNO kali ini lebih awal, tersusun dan sistematik berbanding PRN Sabah pada 2020.

“BN berharap persiapan yang dibuat lebih awal dan tersusun ini akan membuahkan keputusan yang baik pada PRN Sabah nanti.

“Sebagai contoh, saya sebagai Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat sudah meninjau ke 20 bahagian di Sabah, cuma tinggal baki lima bahagian sahaja lagi iaitu Kimanis, Tenom, Kinabatangan, Libaran dan Penampang untuk dilawati dan diperiksa,” ujarnya.

Ahmad berkata, persiapan lebih rapi bagi menghadapi PRN Sabah adalah hasil pembabitan aktif pimpinan parti peringkat negeri dan Pusat.

“Mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di Sabah turut dirasmikan oleh pelbagai pimpinan, termasuk Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan pengerusi perhubungan UMNO negeri.

“Semua usaha itu memberi keyakinan bahawa UMNO Sabah dan BN mampu mencapai keputusan lebih baik kali ini,” ujar Ahli Parlimen Pontian itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast