(Gambar fail) Wakil Sekretariat Solidariti Zara berkumpul menyerahkan memorandum kepada ahli parlimen berhubung kes kematian Zara Qairina di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC), esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu dibuat selepas pasukan khas yang ditubuhkan melaksanakan siasatan lanjut seperti diarahkan sebelum ini.

“PDRM mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes Zara Qairina akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Ogos (esok) untuk nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pasukan khas (task force), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

M Kumar berkata, setakat ini seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Saksi-saksi terbabit terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta lain-lain saksi yang relevan dengan siasatan.

Katanya lagi, siasatan polis memberi tumpuan kepada dua elemen utama iaitu dari aspek inkues dan perlakuan jenayah lain.

“Siasatan polis memfokuskan kepada dua elemen penting iaitu siasatan dari aspek inkues dan siasatan dari aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu,” ujarnya.

Dalam pada itu, PDRM menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.

“PDRM memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” tegas beliau.

Mahkamah Majistret awal hari menetapkan sebutan inkues berhubung kematian pelajar Zara Qairina ditetapkan pagi esok.

Peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa Noraidah Lamat, 45, mengesahkan perkara itu kepada Bernama hari ini, dan memaklumkan beliau telah dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada Rabu, AGC memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina, 13, selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast