KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan negara pada 31 Ogos ini diteruskan dengan penuh semangat walaupun negara masih bersedih dengan kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir akibat dibuli.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kes kematian pelajar ini tidak wajar dijadikan alasan untuk menyambut Hari Kebangsaan walaupun ada pihak yang mempersoalkannya.
“(Hari sambutan) Merdeka itu satu acara kenegaraan dan saya sarankan kita sambut,” katanya dalam sidang media dalam sidang media selepas menghadiri program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, hari ini.
Fahmi mengulas gesaan netizen agark kerajaan membatalkan sambutan hari kemerdekaan tatkala negara dihambat isu kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina di Sabah, Julai lalu.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, beliau juga mahu keadilan ditegakkan bukan sahaja untuk Zara Qairina malah untuk Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman dan Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, 22.
“Saya pun nakkan justice untuk Zara. Saya pun nakkan justice untuk Faris. Saya pun nakkan justice untuk Syamsul.
“Kita tak nak buli ini menjadi satu perkara yang berlarutan,” katanya.
Pada Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Manakala Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai pula meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA) bulan lalu.
Fahmi turut memaklumkan Bukit Aman sudah mengambil alih siasatan kes Zara dan inkues telah dipohon serta tarikh dijangka ditetapkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, rakyat perlu yakin proses keadilan akan berjalan dengan bebas di bawah sistem kehakiman negara.
“Dalam kes Bella contohnya, tempohnya agak lama. Tapi akhirnya kita nampak keadilan dapat ditegakkan. Jadi jangan kita berasa kecewa, insya-Allah, dengan institusi kehakiman yang bebas,” katanya.
Fahmi dalam masa sama mengingatkan supaya tiada pihak mengambil kesempatan mempolitikkan isu tersebut.
“Saya percaya kita akan dapat keadilan. Jangan kita membina istana di atas pusara. Jangan kita cuba mengambil kesempatan untuk mempopularkan diri sendiri. Yang kita mahukan adalah keadilan,” katanya lagi.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 ialah Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” manakala logo Malaysia MADANI kekal sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.
Pemilihan tema itu menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menjunjung nilai perpaduan dan kesejahteraan. – MalaysiaGazette
















