KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengesahkan siasatan berhubung kes melibatkan anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penyerahan kes itu dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan berpusat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Shazeli dilaporkan berkata pihaknya telah menemukan beberapa petunjuk positif bagi mengesan suspek terlibat.
Menurutnya, petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut agar tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















