Ikan BAung Ekor Merah. foto FB Jejak Air Tawar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia membantah cadangan ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Manyang mahu mengkomersialkan ikan Baung Ekor Merah, iaitu spesies pendatang yang kini terdapat di Sungai Pahang.

Setiausaha Agungnya, Anuar Mahmod berkata, cadangan itu mengejutkan dan tidak bertanggungjawab selepas Tuan Ibrahim yakin spesies ikan ini tidak boleh dihapuskan dan mempunyai pasaran yang baik.

Apatah lagi apabila beliau mencadangkan supaya Baung Ekor Merah dikomersialkan, kononnya bagi memenuhi pasaran yang lebih besar daripada ikan baung tempatan.

“Kenyataan sebegini amat mengejutkan dan tidak bertanggungjawab, kerana ia seolah-olah mengambil jalan pintas untuk mencari penyelesaian mudah dengan mengabaikan kerosakan besar yang bakal menimpa ekosistem negeri.

“Hakikatnya, masalah ini bukan soal pasaran atau keuntungan semata-mata. Ia adalah soal kelestarian sungai dan keseimbangan rantai makanan yang menjadi nadi kepada kehidupan manusia dan alam sekitar,” ujarnya sambil memaklumkan Baung Ekor Merah adalah spesies pemangsa yang rakus, yang mampu memakan pelbagai ikan kecil, udang dan benih ikan tempatan. Kehadirannya telah mengganggu rantai makanan semula jadi, menyebabkan populasi ikan asli semakin berkurangan dan akhirnya menjejaskan sumber makanan kepada nelayan serta hidupan lain di sungai.

Jika spesies ini dikomersialkan, kita akan mempercepatkan kerosakan ekosistem, memusnahkan biodiversiti air tawar, dan merisikokan generasi akan datang dengan sungai yang kehilangan khazanah asalnya, tambah beliau.

Anuar menjelaskan, masalah spesies pendatang bukan hanya terhad kepada Baung Ekor Merah malah ikan Bandaraya atau pleco yang kini membanjiri banyak sungai di negara ini juga menjadi ancaman besar.

Ikan ini menggorek dasar dan tebing sungai sehingga menyebabkan hakisan, merosakkan struktur tanah, dan mengganggu kitaran makanan semula jadi. Ia tidak mempunyai pemangsa semula jadi, tidak dimakan masyarakat, dan akhirnya hanya menambah beban ekologi kepada sungai.

Jika kita terus memberi ruang kepada spesies pendatang seperti ini, maka keseimbangan sungai-sungai Malaysia akan runtuh sedikit demi sedikit, tambah beliau.

Anuar berkata, Malaysia mempunyai banyak spesies ikan tempatan yang sudah lama bernilai dalam pasaran. Baung sungai tempatan sentiasa mendapat permintaan, malah ada yang bernilai tinggi mengikut kawasan.

Selain itu, katanya, Baung Kelulang merupakan antara spesies asli yang diminati di peringkat global sebagai ikan hiasan. Maka, adalah tidak wajar untuk menggantikan spesies ini dengan ikan pendatang hanya kerana alasan pasaran.

“Malah, kita sudah mempunyai pengalaman pahit dengan pengenalan Keli Afrika. Ketika itu ia diperkenalkan dengan alasan ekonomi, tetapi akhirnya menjadi spesies invasif yang menjejaskan ekosistem, tidak lagi digemari masyarakat, dan kini membebankan kerajaan untuk membanterasnya,” terang beliau.

Punca sebenar kebanjiran Baung Ekor Merah di Sungai Pahang bukanlah kerana ia mustahil untuk dihapuskan, tetapi kerana penternakan sangkar tanpa kawalan, khususnya di sekitar Pekan, yang kebanyakannya dimiliki oleh warga asing.

Mereka bukan sahaja menternak Baung Ekor Merah, malah turut membawa masuk spesies lain seperti Patin Chao Phraya yang juga bersifat pemangsa ganas.

Bahkan, populasi di sungai berkurangan hasil penangkapan berterusan, namun sentiasa ditambah semula oleh pelepasan daripada sangkar, menyebabkan ia seolah-olah tidak habis-habis.

Oleh itu, pertubuhan ini berpandangan cadangan untuk mengkomersialkan ikan Baung Ekor Merah adalah tidak berasas, tidak berwawasan, dan hanya akan menambah parah kepada masalah ekosistem.

Sebaliknya, langkah yang perlu diambil ialah menutup pintu masuk ikan pendatang dengan menghentikan importnya, menyita sangkar-sangkar ternakan haram, merampas ikan hidup pendatang yang berada di pasaran, dan pada masa yang sama memperkukuh penyelidikan serta pembangunan spesies ikan tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast