Aznan selepas merasmikan Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Satu Jawatankuasa Khas bagi membendung isu buli di peringkat pelajar sekolah di Johor akan mula bermesyuarat pada hari ini bagi mencari pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mesyuarat yang pertama kali diadakan itu bertujuan menyusun dan menetapkan pendekatan bagi atasi masalah berkenaan.

“Mesyuarat ini membantu empat portfolio Exco Kerajaan negeri iaitu Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Agama Islam selain melibatkan agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan negeri memandang serius isu buli ini dan disebabkan itu kita mewujudkan jawatankuasa khas untuk menyusun apakah cara mengatasi masalah tersebut.

“Jadi, hari ini kami akan bermesyuarat untuk meletakkan beberapa pendekatan yang dibuat di peringkat negeri Johor untuk mengatasi masalah buli yang tular,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pihaknya mahu siasatan kes buli melibatkan seorang murid di Johor disegerakan dengan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Fadhlina mengambil serius kejadian berkenaan dan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast