Mohamad Fazli melakukan lawatan kerja di Loji Rawatan Air Semangar, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Johor menjadi negeri pertama mempunyai jawatankuasa teknikal untuk menilai dan meluluskan sesuatu projek pusat data.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kelebihan itu akan dapat memastikan segala perancangan pusat data dilakukan secara komprehensif termasuk daripada segi kecekapan penggunaan air terawat.

“Jawatankuasa yang dipengerusikan ini turut bertindak dalam memberi nasihat kepada pemaju pusat data agar menggunakan teknologi baharu dan mesra alam serta menjimatkan penggunaan air.

“Ini termasuk menggunakan rawatan air kumbahan, air bawah tanah dan air sungai serta sistem penyejukan moden seperti air cooling system dan closed cooling system yang membolehkan kitaran semula air sehingga enam kali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Loji Rawatan Air Semangar, di sini, hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad dipetik mendakwa Johor bakal berdepan krisis air terawat menjelang 2030 atau lebih awal.

Beliau mendakwa perkara itu antaranya dijangka berlaku jika pembinaan tiga takungan air dan tiga LRA tidak siap mengikut jadual iaitu pada 2030.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain itu negeri ini juga menjadi pengerusi jawatankuasa bersama-sama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bagi memastikan semua projek berjalan mengikut perancangan.

“Kita di jawatankuasa teknikal sebenarnya bukan kita concern pasal air ataupun elektrik, tapi kita concern tentang bagaimana mereka ini boleh meneruskan (melancarkan operasi) pusat data center tetapi dengan cadangan-cadangan kita.

“Kalau air kita cadangkan kepada mereka sekurang-kurangnya mesti guna 1.8 liter air, dia punya WUE (Water Usage Effectiveness) keberkesanan penggunaan air untuk elektrik 1.4 unit dan sebagainya.

“Itu memang kita ada dalam jawatankuasa teknikal, cuma yang terbaru ni kita ada masukkan cyber security sekali sebab cyber security ini sebelum ini hanya melibatkan pusat data kerajaan jadi kita ada minta advise juga daripada pusat CGSO (Pejabat Keselamatan Kerajaan Malaysia) untuk tengok cyber security kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, kerajaan Johor juga komited memastikan bekalan air mampan dan sentiasa memantau kemajuan projek-projek bekalan sumber air mentah dan air terawat di negeri ini.

Katanya, sehingga kini tiga projek sumber air mentah telah diluluskan kerajaan Persekutuan melalui Petra iaitu takungan air pinggiran sungai (TAPS) Sungai Johor, TAPS Sungai Pontian, TAPS Sedili yang dijangka siap pada 2030.

Jelasnya, semua projek berkenaan kini berada di peringkat reka bentuk dan berjalan mengikut jadual.

“Projek-projek sumber air ini akan disokong oleh pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berdasarkan penilaian keperluan oleh Ranhill SAJ (RSAJ).

“Perancangan pembinaan LRA melibatkan LRA Semangar 3, LRA Kayu Ara Pasong Fasa 1 (Pontian) dan LRA Sungai Sedili Besar,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan penggunaan teknologi baharu dalam pembangunan pusat data, termasuk rawatan air kumbahan, air bawah tanah, air sungai berdekatan serta sistem penyejukan moden seperti air cooling system dan closed cooling system yang membolehkan kitaran semula air sehingga enam kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast