Jafni menyampaikan kunci dalam majlis penyerahan RKJ kepada Azman Ahmad, 52, di Kampung Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Kerajaan Johor menyasarkan membina 500 buah Rumah Kasih Johor (RKJ) menjelang 2026 bagi membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, rumah itu berharga RM88,000 sebuah mempunyai tiga bilik dan dua bilik air bagi memberikan keselesaan kepada penghuninya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh empat tahun dari 2023 hingga 2026 sebanyak 67.5 juta diperuntukan bagi membina RKJ.

“Pada tahun lepas sebanyak 50 buah RKJ berjaya disiapkan, manakala tahun ini 100 buah lagi akan disiapkan manakala tahun depan 165 buah bakal disiapkan.

“Sehingga kini, seramai 174 telah diserahkan kunci kepada penerima RKJ,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan RKJ kepada Azman Ahmad, 52, di Kampung Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal.

Mohd Jafni berkata, daripada 174 penerima kunci RKJ tersebut, kawasan luar bandar merupakan penerima paling ramai yang melibatkan 10 daerah di Johor.

Kata beliau, pihaknya sedia membina 200 lagi RKJ menjadikan keseluruhan 700 semuanya jika terdapat permintaan dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

“Kriteria penerima RKJ, adalah mereka yang di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan RM850 sebulan, tiada mempunyai rumah pertama atau rumah kedua,” ujarnya.

Katanya, pemohon juga perlu mempunyai tanah sendiri atau tanah daripada adik beradik yang membenarkan rumah tersebut dibina atas tanah itu bagi mengelak masalah pada masa akan datang.

Sementara itu, Azman sebelum ini tidak mempunyai rumah sejak berkahwin 23 tahun lalu dan selama 16 tahun menyewa rumah dengan bayaran RM300 sebulan.

Dia dan isteri, Faridah Khamis, 45, serta empat anak bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membantu keluarganya memilik kediaman sendiri tahun ini.

Tambah Azman, dengan pendapatan yang tidak menentu hanya kerja mengambil upah dengan pendapatan RM1,000 sebulan yang membataskan kewangannya untuk membina rumah sendiri.

Terima kasih kepada Ketua Kampung, Penghulu Mukim Ayer Baloi, ADUN Pulai Sebatang dan Pegawai Daerah Pontian kerana menyokong permohonan saya bagi mendapatkan RKJ ini,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast